SAMARAHAN: Meningkatkan pembangunan serta mentransformasikan Kota Samarahan selaras dengan visi sebagai ‘Kota Ilmu’ adalah antara agenda yang akan diteruskan oleh Datuk Rubiah Wang.
Penyandang dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Samarahan itu, itu berkata Kota Samarahan kini semakin maju dengan pelbagai pembangunan infrastruktur.
Bagaimanapun katanya, ia perlu ditambah baik terutama dari segi pembangunan modal insan, telekomunikasi, pembangunan kesihatan serta pendidikan.
“Jika dipilih (menang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, saya akan meneruskan matlamat untuk mentransformasi Kota Samarahan khususnya di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kota Samarahan.
“Ia bukan sahaja dari sudut infrastruktur malah dari sudut pembangunan modal insan, telekomunikasi, pembangunan kesihatan dan pendidikan.
“Hari ini banyak perubahan (pembangunan) telah berlaku yang mana dahulunya Kota Samarahan merupakan perkampungan kecil dan kini menjadi pusat jaringan khasnya untuk pesisir pantai dan yang terletak berhampiran bandar Kuching.
“Namun begitu, peningkatan ke arah berkenaan amat diperlukan apatah lagi dari sudut jaringan infrastruktur,” katanya.
Ditanya mengenai isu kesesakan yang begitu sinonim dengan Kota Samarahan terutama dari arah Kuching dan sebaliknya, Rubiah berkata ia seharusnya dilihat dari sisi positif dan merupakan proses bagi mentransformasikan Samarahan dengan lebih hebat.
Katanya Sistem Transit Aliran Automasi (ART) Samarahan akan dilaksanakan akhir bulan ini merangkumi stesen yang pertama di Kampung Rembus.
“Kita dari semasa ke semasa sentiasa memantau kesesakan jalan raya ini dan kita telah memohon supaya mod pelaksanaan bagi penambahbaikan jalan di Kota Samarahan khasnya penambahbaikan bulatan disegerakan.
“Sekarang ia sudah menampakkan banyak perubahan dan pada masa sama kita mewujudkan jalan-jalan alternatif khususnya di kawasan Stakan, jalan menuju ke lapangan terbang dan sebagainya,” katanya.