RM68 juta perkukuh hubungan Batu Besai, Panggau, Melugu dan Pakit

Facebook
WhatsApp
WHELTON Lumpoi melakukan simbolik memotong reben sebagai gimik perasmian tapak baharu Rumah Panjang Changgok, Batu Besai Ili, yang siap dibina menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025. Foto ADUN Bukit Begunan

SIMANGGANG: Projek pembinaan jalan Batu Besai–Panggau–Melugu–Pakit bernilai RM68 juta bakal menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh jaringan perhubungan dan meningkatkan akses penduduk di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, projek tersebut dibiayai melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) dan kini memasuki fasa pelaksanaan selepas proses perolehan kerja selesai.

Menurutnya, lawatan tapak dan penutupan tender bagi projek itu telah selesai pada Januari lalu, manakala proses perolehan kerja diselesaikan pada Julai.

“EPR (Kuching) Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor pelaksana bagi projek ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kedeni, Batu Besai Ulu, dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Khasnya, Whelton Lumpoi.

Mong berkata, pelaksanaan projek itu amat penting bagi meningkatkan keselesaan penduduk selain memperbaiki hubungan antara kawasan Batu Besai, Panggau, Melugu dan Pakit.

Dalam perkembangan berkaitan, Whelton turut meninjau tapak baharu Rumah Panjang Changgok, Batu Besai Ili yang telah siap dibina menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.

WHELTON Lumpoi meninjau tapak baharu Rumah Panjang Changgok, Batu Besai Ili yang siap dibina menerusi peruntukan RTP 2025. Foto ADUN Bukit Begunan

Beliau turut mengenal pasti keperluan Rumah Panjang Sidi Lot, Batu Besai Tengah yang memerlukan penyambungan bekalan elektrik ke rumah panjang berkenaan.

Pada majlis sama, beberapa peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) turut diumumkan bagi membantu aktiviti serta keperluan komuniti setempat.

JKKK Rumah Kedeni Batu Besai Ulu menerima RM10,000, manakala Biro Wanita JKKK Rumah Kedeni Batu Besai Ulu menerima RM3,000.

JKKK Rumah Sidi Lot, Batu Besai Tengah dan JKKK Rumah Changgok, Batu Besai Ili pula masing-masing menerima RM5,000.

Mong berharap semua peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan memenuhi keperluan penduduk.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk Rumah Kedeni, Batu Besai Ulu atas sokongan berterusan yang diberikan sebelum ini.

Beliau turut mengajak penduduk di kawasan Batu Besai untuk terus bersama-sama menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menurutnya menjadi tunjang kepada kestabilan Sarawak serta memainkan peranan dalam membawa pembangunan dan menjaga kepentingan rakyat.

Mong menegaskan komitmennya untuk terus memberi perhatian kepada keperluan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan, khususnya membabitkan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.

Oleh Adi Safarman