Sumbangan pemimpin terdahulu terus jadi asas pembangunan Bintulu

Facebook
WhatsApp
BERBINCANG… Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berbincang bersama bekas Temenggong Datuk Barry Yek Siew Hui ketika kunjungan hormat di Bintulu, semalam.

BINTULU: Sumbangan pemimpin masyarakat terdahulu dalam pembangunan Bintulu perlu terus dihargai dan dijadikan teladan oleh generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata pembangunan Bintulu dalam pelbagai bidang hari ini merupakan hasil usaha dan komitmen generasi terdahulu yang telah banyak mencurahkan tenaga kepada masyarakat.

Menurutnya, bekas Temenggong, Datuk Barry Yek Siew Hui, merupakan antara tokoh masyarakat yang sekian lama memainkan peranan dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Generasi terdahulu telah menanam ‘pokok’ supaya generasi selepasnya dapat menikmati teduhan.

KUNJUNGAN HORMAT… Johnny Pang Leong Ming bersama Datuk Barry Yek Siew Hui dan ahli rombongan ketika kunjungan hormat di Bintulu, semalam.

“Kita tidak boleh melupakan mereka yang telah menyumbang kepada masyarakat sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat ke atas Yek di sini semalam, yang turut disusuli dengan penyampaian plak penghargaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, pertubuhan masyarakat, ekonomi dan pembangunan sosial.

Johnny Pang berkata, pembangunan sesebuah komuniti tidak boleh digerakkan oleh seorang individu atau organisasi semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen serta kerjasama pelbagai pihak secara berterusan.

Katanya, pengalaman dan pengetahuan yang dikumpul Yek sepanjang penglibatannya dalam urusan kemasyarakatan merupakan aset bernilai yang boleh dikongsikan dengan generasi muda.

PENGHARGAAN… Johnny Pang Leong Ming menyampaikan cenderamata kepada Datuk Barry Yek Siew Hui (kanan) sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau kepada masyarakat dan pembangunan Bintulu.

Sehubungan itu, beliau berharap Yek akan terus berkongsi pengalaman dan pandangan dalam menyokong pembangunan Bintulu walaupun telah bersara daripada jawatan Temenggong.

“Berundur daripada jawatan rasmi bukan bermakna berakhirnya sumbangan seseorang kepada masyarakat.

“Pengalaman pemimpin terdahulu tetap penting untuk membimbing generasi baharu,” katanya.

KENANGAN… Johnny Pang Leong Ming bersama Datuk Barry Yek Siew Hui dan ahli rombongan bergambar kenangan selepas kunjungan hormat di Bintulu, semalam.

Johnny Pang turut menggalakkan golongan muda mendapatkan panduan daripada pemimpin dan anggota masyarakat berpengalaman, khususnya dalam menghadapi cabaran serta melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti.

Beliau berkata, cara terbaik menghargai jasa generasi terdahulu adalah dengan meneruskan semangat khidmat masyarakat mereka bagi memastikan pembangunan Bintulu terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Oleh Carolyne Utih