
ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa akan melakukan perjumpaan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman dan Lubok Antu dalam masa terdekat bagi mengetahui apakah status terkini pelaksanaan projek jalan raya bagi kawasan Ulu Skrang dan sekitarnya.
Beliau berkata situasi jalan raya di kawasan terbabit banyak menjadi isu sehingga kerap disebarkan di media sosial sebelum ini.
“Saya juga ada melihat beberapa hari lepas dalam laman sosial Facebook mengenai keluhan penduduk yang berdepan kesukaran akibat Jalan Rumah Remong Begantong, Ulu Skrang yang rosak teruk.
“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini tetapi, apa yang penting adalah saya akan mengadakan satu siri pertemuan khas dengan pihak berkuasa berkaitan terutama JKR Bahagian Sri Aman dan Lubok Antu tidak lama lagi.
“Ia adalah bagi membolehkan saya melihat sendiri apakah status pelaksanaan projek jalan raya di kawasan Ulu Skrang dan sekitarnya dengan lebih dekat, seterusnya mencari kaedah penyelesaian terbaik kepada permasalahan yang kerap dialami penduduk disitu selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas isu jalan raya menuju ke Jalan Rumah Remong Begantong, Ulu Skrang yang tular di laman Facebook baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rayong turut menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek Pembetung Rumah Ningkan Giang, Bukong Pelasok disini, hari ini.
Mengulas lanjut, selaku wakil rakyat beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap projek yang dijalankan kerajaan di konstituensi Engkilili dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
“Ini amat penting, kerana rakyat memerlukan kemudahan yang terbaik seperti jalan raya untuk memudahkan bergerak terutamanya dalam melaksanakan urusan tugas harian mereka,” katanya.
Tambah Rayong lagi, dengan wujudnya kemudahan jalan raya yang lebih baik, ia juga bakal memberi impak positif kepada ekonomi penduduk. Dengan akses jalan raya yang baik juga memberi impak positif kepada sosio ekonomi penduduk.
“Jadi, oleh itu dalam masa terdekat ini saya akan mengadakan pertemuan bersama pihak berwajib ini terutama JKR untuk melihat perkara ini,” tegasnya.
Untuk rekod, jalan raya menuju ke Begantong, Ulu Skrang, Krangas dan Tanjung Kumbang ini telah diluluskan pembinaannya di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM600,000.
Dalam masa sama, Rayong turut mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Panjang Ningkan Giang, Bukong Pelasok.
Peruntukan tersebut adalah bagi membolehkan penduduk rumah panjang memasang jubin di ruai masing-masing dan membina stor bagi kegunaan biro wanitanya.
Oleh Adi Saparman