NILAI: Pelumba berbasikal trek Sarawak Adib Andhar Andan melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara acara keirin lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, di sini hari ini.
Lebih manis, kejayaan pelumba berusia 21 tahun itu bukan sahaja menghadiahkan emas sulung Sarawak dalam acara keirin sepanjang penyertaan negeri itu di temasya berkenaan, tetapi turut menjadi pemberian istimewa buat ibunya, Rohayu Ealhi yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 pada Khamis lepas.
Adib berkata kejayaan itu antara detik paling bermakna dalam kariernya kerana kejayaan merangkul pingat emas Sukma adalah antara impiannya sejak menceburi sukan berbasikal trek.
“Perasaan saya macam-macam, gembira ada, sebak pun ada sebab terlalu teruja. Emas ini sebenarnya hadiah untuk hari jadi mak saya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Adib berkata beliau menghubungi ibunya sejurus perlumbaan tamat untuk memberitahukan bahawa emas itu merupakan hadiah hari jadi buat insan yang sentiasa mendoakan kejayaannya, manakala bapanya Andan Zamahari hadir di venue bagi menyaksikan perlumbaan berkenaan.


Beliau berkata walaupun ibunya yang berasal dari Kuching tidak dapat hadir, sokongan dan doa insan tersayang sentiasa menjadi pembakar semangat dalam usahanya untuk mencapai kejayaan.
Adib, yang sebelum ini beraksi dalam acara lebuh raya pada Sukma Sarawak, berkata kejayaan kali ini amat bermakna selepas beliau gagal menghadiahkan sebarang pingat kepada Sarawak pada penampilan terdahulunya.
“Emas Sukma ini memang antara impian saya dan saya sangat gembira dapat menghadiahkannya kepada Sarawak. Saya mula berbasikal trek tahun lepas dan tahun ini sudah menang Sukma, selain beraksi dalam Piala Dunia dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC),” katanya.
Pingat perak menjadi milik pelumba Johor Ahmad Danial Haiqal Ahmad Rifaiee, manakala wakil Negeri Sembilan Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun meraih gangsa.
Sementara itu, pelumba berbasikal trek wanita Johor Nur Alyssa Farid menepati ramalan apabila muncul juara acara keirin wanita, sekali gus menghadiahkan emas buat kontinjen Johor. – Bernama




