KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) telah menyemak turun jangkaan pertumbuhan terhadap rantau Asia kepada 0.1 peratus pada 2020 daripada 2.2 peratus diunjurkan pada April lepas.
Dalam satu kenyataan semalam, ADB berkata, jangkaan itu merupakan pertumbuhan paling perlahan untuk rantau ini sejak tahun 1961, ia terkandung dalam unjuran terbaharu bank tersebut, tambahan kepada Laporan Unjuran Pembangunan Asia (ADO) 2020 yang dikeluarkan pada April.
Bank telah menyemak turun unjurannya untuk 2020 kerana langkah-langkah pencegahan untuk mengatasi pandemik Covid-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi dan melemahkan permintaan luaran.
“Pertumbuhan pada 2021 dijangka akan meningkat kepada 6.2 peratus, seperti diunjurkan pada April. Paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 akan kekal di paras rendah dan dan tren sebelum krisis tersebut.
“Ia tidak termasuk negara perindustrian baharu seperti Hong Kong, China; Republik Korea; Singapura; dan Taipei. Asia yang sedang berkembang pesat dijangka akan berkembang 0.4 peratus tahun ini dan 6.6 peratus pada 2021,” katanya.
Ketua ekonomi ADB Yasuyuki Sawada berkata, negara di Asia dan Pasifik akan terus terjejas akibat penularan Covid-19 tahun ini walaupun sekatan perjalanan ditamatkan secara perlahan-lahan dan aktiviti ekonomi telah mula beroperasi semula dalam kebiasaan baharu.
“Walaupun kita melihat unjuran pertumbuhan yang lebih tinggi rantau ini pada 2021, ini disebabkan oleh pertumbuhan yang lemah tahun ini, dan ia bukan pemulihan berbentuk V. Kerajaan harus mengambil langkah untuk mengurangi kesan negatif akibat Covid-19 dan memastikan tiada gelombang baharu berlaku,” katanya. – Bernama