MARUDI: Sejarah 100 tahun penempatan Poyut menjadi kebanggaan masyarakat Foochow di daerah ini, manakala usaha meneruskan legasi tersebut untuk 100 tahun akan datang kini menjadi tanggungjawab generasi Foochow hari ini.
Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Foochow Malaysia, Dato Dong Sech Sing berkata, generasi muda Foochow perlu mengingati kesusahan dan pengorbanan nenek moyang yang meredah pelbagai rintangan serta cabaran untuk membuka tanah dan membina kehidupan di Baram.
Menurutnya, generasi muda juga perlu memanfaatkan teknologi serta pemikiran baharu bagi meneruskan budaya, adat resam dan semangat masyarakat Foochow yang rajin, tabah serta saling membantu supaya warisan berharga itu terus diwarisi turun-temurun.

“100 tahun lalu, generasi masyarakat Foochow menempuh pelbagai kesukaran untuk datang ke Baram, membuka tanah, mengubah kawasan belantara menjadi tanah pertanian dan menanam pokok getah.
“Pada ketika itu, mereka bukan sekadar menanam pokok getah, malah turut menyemai benih kehidupan masyarakat Foochow untuk berkembang dan berakar umbi di Baram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli 100 Tahun Penerokaan Poyut dan Ulang Tahun Ke-80 Penubuhan Persatuan Foochow Baram di Dewan Suarah Marudi, malam tadi.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.
Dong berkata, satu abad lalu, masyarakat Foochow memberikan sumbangan penting kepada pembangunan dan kemajuan Baram, selain meninggalkan catatan penting dalam sejarah penghijrahan masyarakat Cina di utara Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap Persatuan Foochow Baram terus memainkan peranan sebagai peneraju dalam memanfaatkan teknologi dan pemikiran inovatif bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai persatuan.
“Usaha ini penting bagi memastikan budaya dan adat resam Foochow serta semangat rajin, gigih dan saling membantu yang diwariskan generasi terdahulu terus berkembang di Baram,” katanya.
Oleh Jiku Juguong



