
BEKENU: Adat Mangkung Tiang atau turut dikenali sebagai Pangkong Tiang terus menjadi warisan penting dalam kehidupan masyarakat Dayak Iban di Sarawak khususnya sempena perpindahan ke rumah panjang baharu.
Upacara tradisional yang diwarisi turun-temurun itu bukan sahaja bertujuan memberkati rumah panjang yang didiami, malah menjadi simbol doa dan harapan agar penghuni dikurniakan kesejahteraan, keselamatan serta rezeki yang berpanjangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus menegaskan bahawa usaha memelihara adat resam perlu diperkukuh agar warisan budaya tidak hilang ditelan zaman.
“Perkara ini penting kerana jika bukan kita yang membimbing generasi akan datang, suatu hari nanti adat dan budaya Iban akan hilang.
“Kita tidak mahu perkara itu hilang ditelan zaman, sebab itu setiap amalan seperti bertabuh, bersampi, miring dan bebiau yang dilakukan hari ini adalah mengikut adat lama Iban,” katanya.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata demikian pada Majlis Mangkung Tiang Rumah Jelanie Mangbang di Sungai Saeh, Niah, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan ketua rumah panjang yang sentiasa menjadi contoh dalam menyatukan penduduk melalui amalan permuafakatan dan rundingan yang baik.
“Di bawah kepimpinan tuai rumah, kita dapat sama-sama duduk, bersuara dan membuat keputusan secara rundingan yang baik.
“Ini adalah cara kita mengekalkan keharmonian serta perpaduan di rumah panjang,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah taraf hidup masyarakat, bukan sahaja di rumah panjang tetapi di mana-mana sahaja.
“Pendidikan sangat penting kerana ia mampu mengubah cara hidup dan masa depan kita,” ujarnya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM60,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan penyusunan semula bilik di rumah panjang tersebut.
Selain itu, sebanyak RM3,000 diperuntukkan kepada Biro Wanita, manakala RM5,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) sebagai sumbangan untuk pelaksanaan aktiviti serta pembangunan komuniti.
Terdahulu, Tuai Rumah Jelanie Mangbang berkata, rumah panjang baharu mempunyai dua blok dan kesemuanya sebanyak 49 pintu.
“Sebab kami mendirikan rumah panjang baharu bahawa pada tahun 2014 di bulan Januari rumah kami telah musnah dalam kejadian kebakaran yang tidak dapat kami lupakan.
“Habis harta musnah, tinggal sehelai sepinggang. Kami bangkit dengan mendirikan rumah baharu dan kini semua telah siap sepenuhnya,” jelasnya.
Utusan Sarawak difahamkan bahawa proses Majlis Mangkung Tiang upacara dimulakan dengan adat miring sebagai tanda penghormatan kepada adat dan tradisi nenek moyang sebelum diteruskan dengan ritual utama iaitu memukul tiang rumah.
Masyarakat Iban percaya upacara tersebut membawa maksud permulaan kehidupan baharu yang penuh keberkatan selain mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penghuni rumah panjang.
Walaupun kebanyakan rumah panjang pada masa kini dibina menggunakan struktur moden seperti rumah batu, adat Mangkung Tiang masih dikekalkan sebagai lambang identiti dan kebanggaan budaya masyarakat Iban di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Penghulu Epat Bakar dan ketua-ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu