Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Perarakan “Niti Daun” simbol perpaduan kaum sempena Gawai Dayak di Sri Aman
  • Selatan
  • WILAYAH

Perarakan “Niti Daun” simbol perpaduan kaum sempena Gawai Dayak di Sri Aman

Utusan Sarawak 4 hours ago
SUASANA Perarakan “Niti Daun” sempena sambutan Hari Gawai Dayak peringkat Bahagian Sri Aman, semalam. Foto ADUN Simanggang.

SIMANGGANG: Perarakan “Niti Daun” yang diadakan sempena sambutan Hari Gawai Dayak peringkat Bahagian Sri Aman menjadi simbolik bermulanya musim perayaan masyarakat Dayak di Sarawak serta sebahagian komuniti Dayak di negara jiran, Indonesia.

Program yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman semalam berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi penyertaan 26 kontinjen yang memeriahkan perarakan penuh warna-warni dan semangat perpaduan.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, kejayaan penganjuran program itu membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini terus kukuh.

Menurut beliau, setiap kontinjen dianggotai sekurang-kurangnya 20 peserta selain turut disertai kontinjen tetamu kehormat yang menjadikan acara tersebut lebih meriah dan inklusif.

Katanya, penyertaan pelbagai kaum termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Melayu serta Cina dalam perarakan itu turut memperlihatkan manifestasi sebenar perpaduan rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.

“Penyertaan yang inklusif ini telah menyemai semangat kekitaan dan toleransi kaum yang tegap dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Perarakan Niti Daun sempena sambutan Hari Gawai Dayak peringkat Bahagian Sri Aman, semalam.

Beliau menambah, program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta, malah turut mengetengahkan keindahan kostum tradisional etnik Dayak yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Sarawak.

DATUK Francis Harden Hollis merasmikan Perarakan Niti Daun sempena sambutan Hari Gawai Dayak peringkat Bahagian Sri Aman, semalam. Foto ADUN Simanggang.

Menurut Harden, perpaduan dan keharmonian kaum yang dinikmati rakyat Sarawak ketika ini merupakan contoh terbaik kepada negeri-negeri lain dalam memastikan kestabilan sosial terus dipelihara.

“Kita berbangga kerana kepimpinan Sarawak yang tegap telah menjamin kebebasan dalam meraikan pesta kebudayaan dalam suasana aman damai serta mencapai matlamat menyemai semangat toleransi dan menghindarkan perbalahan kaum serta isu agama yang ekstrem,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam perarakan tersebut iaitu kategori Persatuan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Kerajaan, Rumah Panjang dan Institusi yang menawarkan hadiah sehingga tempat ketiga.

Kesemua kontinjen menampilkan persembahan kreatif serta pakaian tradisional yang unik dan menarik perhatian pengunjung yang hadir menyaksikan acara tahunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menasihatkan masyarakat Dayak supaya menyambut Hari Gawai secara sederhana dan berbelanja secara berhemah berikutan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ketika pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Hari Gawai selain mengutamakan keharmonian bersama keluarga, sahabat handai dan rakan taulan sepanjang musim perayaan.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Guru bitara nadi pembangunan Sarawak
Next: Adat Mangkung Tiang terus dipelihara masyarakat Iban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.