KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Faham pertuduhan dan mohon dibicarakan,” kata tertuduh yang bersut biru.
Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa secara rasuah meminta suapan wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuk tertuduh kerana membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Azura kemudian membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini berserta syarat tambahan sama selain menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 21 Februari lepas, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama manakala pada 22 Februari, dia juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek serupa.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus. – Bernama