
KUCHING: Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) menyambut baik langkah pantas kerajaan Sarawak memperkenalkan beberapa inisiatif bantuan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Presidennya, Kong Chiong Ung berkata, ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat serta turun naik harga tenaga dan komoditi dunia telah memberi tekanan kepada kos sara hidup dan persekitaran perniagaan.
Justeru, tindakan segera kerajaan negeri dilihat mampu meredakan beban kewangan rakyat.
Menurut beliau, langkah-langkah yang diumumkan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, komuniti rentan serta perusahaan mikro, dengan bantuan dan subsidi disasarkan kepada kumpulan tersebut.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk peningkatan Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi 2026, rebat elektrik sebanyak 25 peratus untuk pengguna domestik serta pengurangan kadar sewaan sebanyak 50 peratus kepada peniaga kecil di bawah pihak berkuasa tempatan.
“Langkah bersasar ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah menyokong aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Kong berkata sekiranya keadaan geopolitik global terus meruncing, beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan langkah tambahan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam sektor pertanian bagi memastikan kestabilan bekalan makanan.
Beliau turut menekankan keperluan memberi perhatian kepada kesan rantaian yang dihadapi industri berintensif tenaga seperti logistik, pelancongan dan pembinaan.
Menurutnya, mekanisme subsidi bahan api sedia ada berjaya membantu mengekalkan kestabilan bekalan, namun harga minyak antarabangsa yang kekal tinggi berpotensi memberi tekanan lebih ketara kepada perniagaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
“Dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, peningkatan harga bahan api dijangka mula mempengaruhi kos pasaran secara berperingkat, sekali gus meningkatkan perbelanjaan bagi perniagaan dan pengguna,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan komuniti perniagaan agar membuat persediaan awal dengan mengurus aliran tunai secara lebih cekap, menstruktur semula kos operasi, meningkatkan kecekapan serta memanfaatkan sepenuhnya insentif kerajaan di samping memantau perkembangan pasaran dan geopolitik.
Tambahnya, syarikat juga boleh mempertimbangkan beberapa langkah seperti mengenakan surcaj bahan api, mengoptimumkan laluan pengangkutan, meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api, menyesuaikan strategi harga serta merunding semula kontrak bekalan bagi mengurangkan tekanan kos dan memastikan kelangsungan operasi.