KUCHING: Jualan tiket bagi penganjuran Fast Culture Festival 2025, setakat ini mencecah lebih 3,000.
Acara terbesar dalam kalendar peminat automotif Sarawak ini dijangka kembali dengan skala lebih besar di Stadium Sarawak pada Mei ini.
Pengasas festival, Adib Azli Affendi, berkata acara pra-festival yang berlangsung hari ini di Sarawak Plaza bertujuan menghimpunkan komuniti pencinta kereta dari dalam dan luar negara, sekali gus mempromosikan budaya automotif Sarawak ke peringkat antarabangsa.
“Kami mahu meletakkan Sarawak di peta budaya automotif dunia.
“Dengan sokongan rakan antarabangsa, kami harap festival ini bukan sahaja menjadi tempat berkumpul peminat kereta, tetapi juga membuka mata dunia terhadap keunikan budaya automotif di negeri ini,” katanya pada sidang media.
Menariknya, edisi kali ini mencatat sejarah sebagai yang pertama menampilkan persembahan artis, dengan penyanyi terkenal Noh Salleh bakal menghiburkan pengunjung.
Selain itu, festival turut menjanjikan pelbagai aktiviti termasuk pameran kereta, cabutan bertuah dan konsert.
“Ini acara kelima kami dalam tempoh kurang dua tahun sejak bermula pada 2022.
“Hari ini sahaja, kita menerima penyertaan 200 buah kereta daripada pelbagai peserta dari Brunei, Sabah, Bintulu, Miri dan Sibu,” tambah Adib.
Hadiah cabutan bertuah juga tidak kurang hebat, dengan sebuah basikal elektrik sebagai salah satu hadiah utama.
Lebih mengujakan, hadiah cabutan bertuah bagi festival utama pada Mei nanti ialah sebuah Toyota Alphard yang telah diubah suai, cukup layak untuk menyertai ‘autoshow’.
Fast Culture Festival 2025 dijangka menjadi medan pertemuan terbesar bagi peminat automotif dan penggemar budaya kereta di Sarawak.
Oleh Amanda L.