PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerima dua kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, pagi tadi.
Kunjungan hormat P/TPj Hasbilah Mohamad Salleh bertujuan memperkenalkan diri sebagai anak jati Sarawak pertama yang dilantik sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak (SPRM).
Hasbilah yang diiringi Timbalan Pengarah (Pencegahan), PKPj Wan Ahmad Nidzam Wan Omar serta Ketua Siasatan Negeri, PKPj Katherine Nais turut membawa agenda penting dalam mengukuhkan integriti, dan tatakelola dalam kalangan penjawat awam negeri.
Antara agenda dibincangkan dalam kunjungan hormat ini iaitu cadangan untuk memperluaskan program pendidikan antirasuah.
“Dalam usaha memperkasa integriti dalam sektor perkhidmatan awam, cadangan memperluaskan program pendidikan antirasuah turut dibincangkan bagi menanam nilai integriti sebagai asas dalam setiap urusan pentadbiran negeri.
“Perbincangan juga menumpukan kepentingan pematuhan prosedur serta strategi efektif bagi memastikan pentadbiran kekal telus, berintegriti, dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Kunjungan hormat disusuli rombongan daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) yang diketuai Yang Dipertua, Datuk Misnu Taha.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di negeri ini.
Menurut Abdul Rahman, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu MIS sempena ulang tahun ke-70 badan tersebut yang bakal diraikan pada 1 Mei akan datang.
Sambutan ini dijangka menjadi pencetus semangat dalam memperkasa peranan MIS sebagai institusi utama dalam memartabatkan syiar Islam di Sarawak.