KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan logo Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) edisi 2023 beserta laman web rasminya, ‘wcit2023.com’ di bilik mesyuarat utama pejabatnya.
Menurut UKAS, pelancaran itu selaras dengan penganjurannya yang ke-27 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Berhad di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 4 hingga 6 Oktober nanti.
Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, berkata kongres itu akan menyaksikan pemimpin dunia, penggubal dasar, ahli akademik dan komuniti digital dari sains, teknologi, dan kemanusiaan berkumpul untuk membincangkan cabaran dan pendekatan sedia ada berkaitan era digital di rantau Borneo.
Katanya, acara tiga hari itu juga akan menampilkan lebih daripada 2,500 perwakilan, 80 negara serta 200 penceramah industri, pemimpin kerajaan dan ahli akademik.
Majlis pelancaran ringkas itu turut dihadiri Pengerusi Perikatan Teknologi dan Perkhidmatan Maklumat Dunia (WITSA) Dr Sean Seah, Ketua Pegawai Eksekutif WITSA Dato’ Dan E Khoo, Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Ong Chin Seong, Ketua Pegawai Eksekutif PIKOM Ong Kian Yew termasuk wakil Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS)
Gambar UKAS