KUCHING: Kerajaan Sarawak melahirkan penghargaan atas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf dan mengakui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak dan Petros akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas bagi menjamin Petros menjalankan peranannya sebagai agregator gas tunggal tanpa sebarang gangguan kepada bekalan gas untuk pelanggan termasuj pelabur.
“Kerajaan Sarawak juga menghargai peranan Kerajaan Persekutuan dan Petronas dalam menyelesaikan isu ini.
“Ini akan mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, Petronas dan Petros.
“Kerjasama strategik seperti ini akan memacu usaha menjadikan Malaysia dan Sarawak khasnya menjadi hab tenaga.
“Kerjasama ini akan juga mempertingkatkan saingan global Malaysia dalam usaha menarik pelaburan, penyelidikan teknologi dan industri baharu, terutama derivatif petrokimia.
“Dengan itu, ia sejajar dengan usaha mewujudkan kerja upah tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak sebentar tadi.
Di Abu Dhabi semalam, Anwar dilaporkan berkata bahawa beliau percaya isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Premier Sarawak.
Perdana Menteri berkata tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.
“Tetapi kita (Kerajaan Persekutuan) terima juga kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak untuk meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” kata beliau kepada kalangan wartawan Malaysia pada sidang media di akhir lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi semalam.
Anwar berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan yang lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas
Oleh Kadir Dikoh