
SARATOK: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal menyaksikan perebutan ‘Raja Sungai’ Regata Kalaka bersempena penganjuran Pesta Saratok 2025 pada 13 Julai nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata penganjuran Pesta Saratok tahun ini telah ditetapkan bermula 11 hingga 13 Julai.
“Sebanyak 21 acara sebagai pengisian penganjuran Pesta Saratok telah dimuktamadkan pada mesyuarat kali ini.
“Antara acara pengisian menarik adalah Saratok Kitchen, pertandingan memasak, pertandingan Dart, Petanque, Kempen Derma Darah, Kejohanan Bola Keranjang, Badminton, Mountains Bike Challenge, malam kebudayaan.
“Selain itu pertunjukan perahu berhias, pertandingan pangkah gasing, pertandingan melastik (Slingshot), menyumpit, bertandak, Ratu Enik Pesta Saratok, pertandingan memancing, tarik tali dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Saratok 2025 yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, hari ini.
Mohamad Duri berkata tapak jualan pesta yang menjadi tunjang utama kemeriahan Pesta Saratok 2025 akan disediakan dengan bayaran sewa yang berpatutan dan akan dibuka kepada peniaga dalam masa terdekat.
“Kemuncak Pesta Saratok 2024 iaitu penganjuran Regata Kalaka pada tahun ini pasti akan memberikan kenangan tersendiri yang mana acara perebutan ‘Raja Sungai’ akan disaksikan oleh Abang Johari sendiri.
“Saya berharap dengan kerjasama antara Pusat Khidmat DUN N.38 Kalaka, Pejabat Daerah Saratok dan semua agensi kerajaan mahupun swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kelab serta persatuan, Pesta Saratok 2025 ini dapat dijalankan dengan meriahnya.
“Rancanglah cuti anda bagi menyaksikan hari kemuncak Pesta Saratok 2025 ini nanti, jom bersama-sama kita meriahkan Pesta Saratok pada tahun ini,” katanya.
Oleh Adi Safarman