ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan kerja sanitasi di Masjid Bahagian Kuching merupakan satu suntikan semangat dan sokongan moral kepada anggota yang terlibat dalam usaha mencegah penularan Covid-19.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, ia sekali gus menepis tanggapan dan komen negatif sesetengah pihak yang mempertikaikan operasi nyahkuman diadakan di seluruh Sarawak.
Dalam operasi itu, seramai 33 petugas dari JBPM Sarawak bersama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlibat.
“Kehadiran Ketua Menteri merupakan suntikan semangat kepada anggota terlibat dengan mesej yang jelas dan positif kepada yang usaha ini bahawa ia adalah direstui Kerajaan Sarawak dan perlu dilakukan.
“Ini sekali gus menepis tanggapan negatif sesetengah pihak dalam usaha mengekang penularan covid,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Tambahnya, banyak komen negatif pengguna laman sosial mengenai operasi nyahkuma, tetapi mereka ini sepatutnya berterima kasih kerana usaha itu dibuat kerana ia adalah perlu
“Dalam situasi begini, kita memerlukan komen yang positif, sekurang-kurangnya beri semangat kepada pasukan barisan hadapan.
“Amat penting untuk nyahcemar kuman supaya empat langkah yang dilaksanakan akan lebih berkesan berdasarkan statistik yang perlu dipatuhi,” jelasnya.
Menurutnya, semalam adalah siri ketiga operasi nyahcemar dilakukan di sekitar Kuching termasuk seluruh negeri.
“Termasuk di lapangan terbang, pusat saringan di Kompleks Belia dan Sukan, Stadium Perpaduan dan beberapa pusat kuarantin yang dikenalpasti kerana ia perlu dikuarantin.
“Hari ini kita juga mendapat satu arahan baharu, mana-mana orang luar negara datang ke Sarawak akan terus dikuarantin ke hotel temasuk mereka yang disyaki (PUI) akan terus dikuarantin di tempat-tempat, jadi kita akan buat nyahcemar di tempat itu dan juga kawasan yang berisiko tinggi akan dibuat setiap hari atas nasihat KKM,” katanya lagi.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan bekas Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
Pada Selasa, kerja-kerja sanitasi di sini dijalankan di Gereja Good News Fellowship di Green Heights, RHB Bank di Jalan Kulas, Wisma Satok, BSN Jalan Satok dan kaunter DBKU di Satok.