KUCHING: Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) menerusi Program Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021 hingga 2025 menyantuni anak-anak Rumah Kebajikan Pertubuhan Baiturrahmah di sini, baru-baru ini.
PSM merupakan inisiatif bagi memperkasa kolaborasi strategik Tentera Darat Malaysia (TDM), khususnya MK PMTTD bersama komuniti dalam agenda memacu pembinaan imej positif masyarakat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ia diterjemahkan menerusi penerapan hubungan baik di kalangan masyarakat melalui Program Jiwa Murni (PJM) yang cakna terhadap kesejahteraan lokaliti setempat dan seterusnya meningkatkan kredibiliti TDM sebagai organisasi yang dipercayai.
Program itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik (KPTL) MK PMTTD, Brig Jen Azelan Abu Bakar mewakili Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Antara pengisian program ialah sesi ‘Ice Breaking’, Syarahan Motivasi dan slot Bual Bicara Kerjaya Tentera.
Turut berlangsung adalah acara penyerahan sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persendirian yang turut dihadiri oleh Kol Risik MK PMTTD, Kolonel Sukcha Din Tawan dan Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Islam MK PMTTD, Leftenan Kolonel Zamri Ab Rahman.
Sementara itu, Pengurus Rumah Baiturrahmah (lelaki) Abdul Rahman Hassan berkata, Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching, merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat penjagaan kepada anak-anak saudara baru lingkungan usia seawal tujuh tahun dan mula beroperasi sejak Januari 2014.
Katanya, premis banglo dua tingkat dengan kapasiti tujuh bilik ini bermula dengan hanya empat pelajar dan kini seramai 40 pelajar telah dibimbing di premis yang mampu menempatkan 20 penghuni dalam satu masa.
Dalam pada itu, salah seorang penghuni rumah berkenaan, iaitu Xien Que Irwan Shah, 12, dari Samarahan berkata beliau teruja apabila ‘abang askar’ datang dan menyantuni penghuni rumah ini kerana amat meminati kerjaya tentera.
Selain itu, Pengurus Rumah Baiturrahmah turut terharu atas keprihatinan pihak MK PMTTD dan berharap agar usaha murni ini terus dilestarikan dalam usaha pembentukan sahsiah dan pemerkasaan jati diri anak-anak di rumah tersebut.
Program ini merupakan inisiatif bagi menyokong Pelan Strategik MINDEF 2021 hingga 2025 Teras Empat iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation-CIMIC) demi kelangsungan ‘Pertahanan Menyeluruh’ dan diperkuatkan dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu ‘Peningkatan Hubungan TDM Dengan Awam’.