
ENGKILILI: Kesemua penghuni Rumah Lintong, Nanga Kesit Lemanak telah ditempatkan di Pusat pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Lubok Subong.
Dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar 10.00 pagi tadi, sebanyak 15 pintu rumah panjang dua tingkat jenis struktur separuh kekal itu telah terbakar 100 peratus.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel memberitahu kesemua mangsa mula dipindahkan di PPS terbabit sejak 2.00 petang tadi.
Menurutnya lagi, agensi berkaitan masih giat melakukan pendaftaran kepada mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu sebelum ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Lubok Subong.
“Kesemua 15 buah keluarga daripada 40 orang penghuni Rumah Lintong, Nanga Kesit Lemanak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Lubok Subong selepas kejadian kebakaran yang telah memusnahkan kediaman mereka pagi tadi.
“Saya dimaklumkan dua mangsa telah tinggal di rumah saudara terdekat mereka, dan kesemua mangsa kebakaran telah ditempatkan di PPS berkenaan bagi memudahkan pengawasan kepada mangsa-mangsa terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Desem berkata satu taklimat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lubok Antu diketuai oleh pengerusinya yang juga Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau telah diadakan bagi membincangkan pembukaan PPS.
“Perjumpaan diadakan adalah untuk membuka PPS dan perbincangan bantuan barang makan kepada mangsa yang telah kehilangan tempat tinggal, sementara menunggu bantuan dari pihak berwajib,” katanya.
Desem menjelaskan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu kerana kesemua mangsa dapat menyelamatkan diri mereka.
“Kita amat bersimpati kepada semua mangsa dan berharap mereka tabah dengan ujian ini sementara menunggu bantuan selanjutnya disalurkan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman