
ENGKILILI: Kira-kira 15 buah pintu Rumah Litong, Nanga Kesit Lemanak dekat sini musnah dalam kebakaran, pagi tadi.
Kejadian kebakaran yang berlaku sekitar 10.00 pagi itu membabitkan sebanyak 15 pintu rumah panjang dua tingkat jenis struktur separuh kekal itu telah terbakar 100 peratus.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dan bantuan daripada BBP Sri Aman telah menerima panggilan berhubung laporan kebakaran tersebut sekitar 10.03 pagi.
Katanya seramai 20 anggota dari BBP Betong yang diketuai oleh Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan. Turut berada di lokasi kejadian iaitu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Betong.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang dua tingkat jenis struktur separuh kekal itu telah terbakar 100 peratus.
“Dilaporkan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan dalam keadaan selamat,” katanya.
Muhammad Rais berkata pasukan bomba kini sedang melakukan pemadaman dan pembersihan di lokasi dengan membentang satu aliran 300 kaki tiga nozel sumber air terbuka dari sungai berhampiran. Kerja-kerja pemadaman dan pembersihan masih dijalankan di lokasi.
Oleh Adi Safarman