
PETRA JAYA: Sarawak bersedia untuk melakar satu lagi sejarah apabila negeri ini dipilih sebagai tuan rumah bagi beberapa acara Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian ketika berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Menurut beliau, kejayaan menganjurkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 tahun lalu menjadi bukti bahawa Sarawak memiliki kapasiti, kemudahan serta tenaga kerja yang kompeten untuk melaksanakan acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak, atlet, jurulatih dan semua pihak yang telah menjayakan SUKMA ke-21 dengan begitu cemerlang sehingga membolehkan Sarawak muncul juara keseluruhan,” katanya.
Mengulas lanjut, Tun Wan Junaidi berkata, pengalaman penganjuran SUKMA telah memberi asas yang kukuh kepada negeri ini untuk mengorak langkah sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
“Dengan semangat kejayaan tersebut, saya percaya Sarawak mampu menganjurkan Sukan SEA dengan jayanya, sekali gus meletakkan nama negeri ini di persada sukan serantau,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar semua pihak termasuk sektor awam, swasta dan rakyat Sarawak bersatu tenaga bagi memastikan segala persiapan dan pelaksanaan acara berjalan lancar serta mencapai standard tertinggi.
Menurutnya, penganjuran temasya besar seperti ini bukan sahaja mengangkat nama Sarawak dalam arena sukan, malah mampu merangsang ekonomi negeri menerusi pelancongan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur sukan.
“Saya percaya temasya ini juga akan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia Sarawak untuk menceburi bidang sukan secara profesional dan berdaya saing,” katanya.
Sarawak sebelum ini telah mengemukakan hasrat untuk menjadi tuan rumah bersama bagi Sukan SEA 2027 dan akan menjadi lokasi bagi beberapa acara utama sukan tersebut.
Oleh Masrin Affirah & Amanda L.