
Mikel Arteta. Foto AFP
LONDON: Mikel Arteta bersiap sedia untuk mencipta sensasi pada jendela perpindahan kali ini dengan berbelanja lebih besar untuk mendapatkan penyerang bertaraf bintang bagi memperkuatkan jentera serangan Arsenal bagi saingan musim depan.
Arteta yang sudah bersama pasukan itu sejak lima musim lalu dilihat gagal memenangi sebarang trofi dengan masalah kecederaan sering menghantui pasukan khususnya pemain penyerang yang terpaksa diketepikan termasuk Kai Havertz, Bukayo Saka dan Gabriel Jesus.
Selain trio berkenaan, tonggak tengah berpengaruh Martin Odegaard turut berdepan beberapa siri kecederaan sekali gus mengganggu momentum pasukan hingga menyebabkan Arsenal gigit jari merebut Liga Perdana Inggeris (EPL) yang terlepas kepada Liverpool sebelum tewas di tangan Paris Saint-Germain pada separuh akhir Liga Juara-Juara.
Selepas kempunan mendapatkan penyerang Ollie Watkins dari Aston Villa pada jendela perpindahan Januari lalu, Arteta tegaskan bersedia untuk bertindak lebih agresif bagi mendapatkan penyerang selepas ini.
“Ia umpama seperti sebuah majlis perkahwinan, apabila bajet itu disediakan dan dilihat cukup namun hakikatnya ia sentiasa tidak cukup dan mahukan lebih lagi,” kata Arteta.
“Apabila membina rumah, dah tentu selalu mahukan lebih besar. Perkara itu akhirnya berlaku dan perubahan mesti dilaksanakan. Kadangkala kami perlu gunakan khidmat pemain yang ada tetapi mengalami kecederaan.
“Ada banyak kemungkinan boleh berlaku dan ia berkaitan dengan bajet. Apapun perjalanan perlu diteruskan dan kami perlu meningkatkan lagi prestasi pasukan. Kita lihat apa yang akan berlaku nanti,” katanya.
Biarpun sebelum ini wujud khabar angin kemungkinan tempat Arteta bakal digantikan dengan pengendali lain, namun jurulatih itu tegaskan hubungannya dengan Pengarah Kelab, Andrea Berta masih baik.
“Berta seorang yang memiliki misi yang jelas. Semua orang dalam kelab faham dan kami perlu capai apa yang disasarkan,” kata Arteta. – AFP