PERMAINAN tradisional seperti gasing berpotensi cerah untuk berkembang dan mampu menjadi daya tarikan pelancongan di negeri ini kerana keunikannya yang tersendiri.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju berkata, permainan tradisional itu juga memberi identiti kepada sesuatu kaum atau bangsa dan boleh diangkat sebagai platform penyatuan dan perpaduan serta menghargai jati diri.
“Justeru, usaha mempromosikan semula permainan gasing ini wajar diperhebatkan supaya ia tidak ditelan zaman kerana permainan tradisional ini adalah khazanah bangsa yang wajar dipulihara,” katanya pada Pertandingan Gasing Kampung Bunga Raya anjuran Pusat Komuniti Kampung Bunga Raya Saratok, baru-baru ini.
Sebanyak lapan pasukan telah menyertai pertandingan tersebut.
Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata, Pertandingan Gasing Kampung Bunga Raya yang telah diadakan itu mampu membawa mesej penyatuan kaum terutamanya golongan muda yang menyertainya.
Katanya beliau menganggap permainan gasing dapat mengajar masyarakat banyak perkara antaranya, semangat kerjasama dan kepentingan melihat sesuatu sudut lain.
“Selain terus memperjuangkan permainan tradisional, pertandingan ini turut memberi ruang dan peluang kepada masyarakat khususnya di daerah Saratok merasai kembali keseronokan bermain permainan tradisional.
“Secara tidak langsung kita berada pada landasan yang betul untuk memartabatkan kembali permainan tradisional kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata melalui pertandingan ini juga dapat mengelak remaja dan belia daripada terjebak dengan gejala tidak sihat, malah dengan adanya pengetahuan bermain permainan tradisional seperti gasing membolehkan seseorang itu menyertai pertandingan yang dianjurkan nanti.
“Pertandingan Gasing Kampung Bunga Raya ini juga merupakan platform serta berperanan melahirkan lebih ramai pelapis muda bagi pemain gasing pangkah terutamanya dalam kalangan warga muda,” ujarnya.
Pertandingan tersebut katanya adalah satu inisiatif Pusat Komuniti Kampung Bunga Raya untuk mempromosikan semula permainan gasing supaya tidak ditelan zaman memandangkan permainan tradisional tersebut merupakan khazanah bangsa yang wajar dipelihara.
“Walaupun gasing dikenali ramai, ia semakin dilupakan. Dahulu, permainan ini kerap dimainkan malah dijadikan pertandingan.
“Penganjuran pertandingan ini diharap dapat membantu memartabatkan kembali sukan rakyat ini dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Turut hadir Ahmad Razak yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz, Ketua Pemuda Negara Saratok, Faiz Wahi dan Pengerusi pertandingan, Siti Norliza.
Oleh Adi Safarman