PETRA JAYA, 13 Oktober: Kuching City FC (KCFC) terus memperkukuh kedudukan kelab dalam arena bola sepak menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AirBorneo.
Pengerusi KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kerjasama berkenaan merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pelbagai peluang yang mampu memberikan manfaat kepada KCFC dan AirBorneo, selain menyokong pembangunan bola sepak Sarawak secara keseluruhannya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KCFC dan AirBorneo, hari ini.
Fazzrudin berharap kerjasama berkenaan dapat menyokong pembangunan KCFC serta membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AirBorneo atas kesediaan menjalinkan kerjasama tersebut dan berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan demi manfaat bersama serta kemajuan bola sepak Sarawak.
Oleh Adi Safarman





