Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Abang Johari beri penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Amar Dominic
  • TEMPATAN

Abang Johari beri penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Amar Dominic

Utusan Sarawak 18 hours ago
PENGHORMATAN TERAKHIR… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan di kediaman keluarganya di Kampung Pichin, hari ini. Foto UKAS

SERIAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberi penghormatan terakhir kepada tokoh masyarakat Bidayuh, mendiang Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan di kediaman keluarganya di Kampung Pichin, hari ini.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir dalam usia 91 tahun, meninggalkan balu, Datin Amar Mary Margaret Lenuh serta enam orang anak, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Sementara itu, Abang Johari menyifatkan mendiang merupakan antara tokoh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, khususnya atas sumbangan besar beliau menyatukan sokongan masyarakat Bidayuh terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963.

“Mendiang ialah Ahli Parlimen pertama kawasan Serian dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Upper Sadong selama sepenggal,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas jasa besar mendiang, khususnya dalam usaha menggabungkan Parti Pesaka dan Parti Bumiputera yang kemudiannya membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Mengimbas hubungan peribadinya dengan mendiang, Abang Johari memaklumkan bahawa mendiang ialah rakan sebaya kepada ayahandanya, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abang Haji Openg semasa kedua-duanya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Kerana hubungan itu jugalah, arwah ayahanda saya pernah menjejakkan kaki ke Kampung Pichin pada 1970-an,” ujar beliau.

Selepas bersara daripada politik, mendiang terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan kerajaan negeri menerusi pelbagai jawatan, termasuk sebagai Setiausaha Politik dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dari tahun 1971 hingga 1973.

Selain itu, mendiang juga pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) antara tahun 1973 hingga 1975 serta merupakan pengasas dan guru besar pertama Sekolah Rendah St. Dominic, Kampung Pichin yang ditubuhkan pada 1955.

Atas jasa dan sumbangan besar beliau, mendiang telah dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar pada 2019.

Mendiang turut menerima beberapa anugerah lain, termasuk Anugerah Tokoh 1Malaysia (2009), Anugerah Pengasas Perjuangan Kemerdekaan serta Pingat Jubli Intan Kemerdekaan Sarawak.

Upacara penghormatan terakhir akan diteruskan sehingga Isnin, manakala upacara pengebumian dijadual berlangsung pada 19 Mei, 9.00 pagi di Gereja Trinitas Kudus, Kampung Pichin sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pichin.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Sulit Kanan kepada Premier Sarawak, Datuk Khir Busrah, Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Tay Guan Huat serta yang lain.- UKAS.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 31 Ahli Majlis Daerah Gedong angkat sumpah
Next: Siri taklimat GKCDA di seluruh Sarawak tamat di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.