DEAN Smith mendesak Aston Villa untuk menyelesaikan tugas mereka setelah mereka keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris ketika Trezeguet meraih gol kemenangan 1-0 yang tidak ternilai melawan Arsenal semalam.
Pasukan Smith kini mempunyai nasib dalam tangan mereka sendiri selepas jaringan babak pertama pemain sayap dari Mesir itu di Villa Park.
Kekalahan 4-0 Watford kepada Manchester City awal semalam telah membuka pintu buat Villa untuk mengeluarkan diri daripada kedudukan tiga terbawah.
Dan Villa merebut peluang mereka dengan kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris ke atas Arsenal dalam 18 percubaan sejak 1998.
Villa kini berada di tangga keempat terbawah dan mendahului Watford di tangga ketiga tercorot berdasarkan perbezaan gol, dengan pasukan Smith -26 berbanding Hornets -27.
Mereka akan berkunjung ke West Ham untuk perlawanan terakhir musim ini pada hari Ahad, sementara Watford mengunjungi Arsenal dan Bournemouth di tangga kedua, tiga mata di bawah zon selamat, pergi ke Everton.
Sekiranya Villa dan Watford sama-sama menang, perbezaan gol atau gol yang dijaringkan akan menentukan siapa yang akan tersingkir.
“Ini adalah dorongan besar, itu sudah pasti. Kami tahu kami harus memperoleh kemenangan itu untuk mengejar Watford dan sekarang kami memiliki musim di dalam tangan kami sendiri,” kata Smith.
“Itu saja yang anda boleh anda minta menjelang perlawanan terakhir. Ia adalah persembahan yang hebat dan keputusan yang lebih baik lagi menentang pasukan yang baik yang baru saja mengalahkan dua pasukan terbaik di Eropah.
“Kami telah membawa musim ke hari terakhir. Watford boleh pergi dan menang di Arsenal jadi kami harus memastikan kami menang di West Ham.”
Setelah berjaya mendapat tempat di final Piala FA dengan mengalahkan Manchester City pada hari Ahad, bos Gunners, Mikel Arteta melakukan enam perubahan dan Arsenal kelihatan seperti bayangan pasukan yang menang di Wembley.
Arsenal tidak dapat menduduki tempat yang lebih tinggi daripada tangga kelapan dan mesti memenangi final Piala FA menentang Chelsea untuk layak ke Liga Europa musim depan. – AFP