
SIBU: Orang ramai diseru agar mengamalkan kebersihan tangan sebagai sebahagian daripada rutin harian, sama ada di rumah mahupun dalam persekitaran penjagaan kesihatan, bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.
Pengarah Hospital Sibu, Dr. Nanthakumar Thirunavukkarasu, berkata amalan mencuci tangan sepatutnya menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian.
“Jika ia dijadikan satu tabiat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa, kita akan dapat melihat penurunan kes penyakit berjangkit,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Seminar Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2025 di Hospital Sibu, hari ini.
Beliau berkata, semasa pandemik Covid-19, kepatuhan masyarakat terhadap kebersihan tangan dan pemakaian pelitup muka telah menyebabkan penurunan ketara kes influenza serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
“Ini membuktikan bahawa tindakan mudah seperti mencuci tangan dan memakai pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan secara signifikan,” ujarnya.
Dr. Nanthakumar turut menekankan bahawa risiko jangkitan di hospital adalah lebih tinggi berikutan kewujudan pelbagai organisma berbahaya seperti virus dan bakteria.
“Tanpa amalan kebersihan tangan yang betul, petugas kesihatan mungkin secara tidak sengaja menyebarkan kuman kepada pesakit mahupun diri sendiri,” jelasnya.
Katanya, Hospital Sibu terus memperkukuh langkah-langkah pencegahan, terutamanya pada waktu-waktu berisiko tinggi.
Sempena program berkenaan, Hospital Sibu turut menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan video bertemakan kebersihan tangan yang melibatkan penyertaan daripada semua lapisan kakitangan, merangkumi doktor, jururawat serta kakitangan sokongan.
Oleh Akun Giman