
KUCHING: Sekumpulan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak hari ini telah membuat laporan polis berhubung satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Premier Sarawak di media sosial.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Satok, Jalan Nagor, diketuai oleh Abdul Samad Gany.
Menurutnya, laporan berkenaan dibuat terhadap pemilik akaun Facebook dikenali sebagai “Mike Rain” yang didakwa memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina serta memperlekehkan Premier Sarawak.
“Hantaran itu dapat diakses oleh orang awam dan boleh menimbulkan rasa kebencian serta menjatuhkan maruah pemimpin negeri termasuk menyentuh ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan.
Beliau berkata, kenyataan terbabit juga boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam, khususnya di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan terhadap individu terbabit.
Katanya, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana undang-undang yang bersesuaian. -Jiwa Bakti