Warga emas cedera ringan dalam kebakaran Rumah Charlie

Facebook
WhatsApp
KEADAAN Rumah Charlie semasa kejadian kebakaran menunjukkan api marak membakar struktur kayu rumah. Foto JBPM Sarawak

BINTULU: Seorang warga emas cedera ringan dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan keseluruhan 12 pintu Rumah Charlie di Kampung Serak, Jalan Ulu Sebauh, malam tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.40 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerah ke lokasi sejauh 45 kilometer.

RUMAH Charlie di Kampung Serak, Jalan Ulu Sebauh, Bintulu musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran malam tadi. Foto JBPM Sarawak

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati struktur rumah panjang jenis kayu seluas 400×200 kaki persegi terbakar 100 peratus.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) memindahkan peralatan ke lokasi menggunakan perahu kerana kedudukan rumah berada di seberang sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dari pili bomba serta satu aliran sepanjang 200 kaki dari sumber air terbuka.

PASUKAN bomba melakukan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian. Foto JBPM Sarawak

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 65 tahun mengalami luka ringan di bahagian muka dan menerima rawatan awal daripada pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya.

Tiada kematian dilaporkan, namun seramai 89 penghuni rumah panjang terbabit kehilangan tempat tinggal.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Carolyne Utih