
SIBU: Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne dan Yayasan Sarawak akan menganjurkan satu sesi ceramah pendidikan pada 17 Mei ini.
Program tersebut akan berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Katolik, Sibu, bermula jam 1.00 petang.
Menurut Pengerusi Pemuda SUPP Pusat, Kaunselor Kelvin Lau, ceramah ini bertujuan memberikan maklumat kepada pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi serta bantuan kewangan yang tersedia.
“Ini adalah peluang yang jarang diperoleh kerana mereka akan datang dari Kuching untuk berkongsi maklumat berharga kepada semua pelajar,” katanya semasa program “Kopitiam Talk” anjuran SUPP Dudong dan SUPP Sibu Jaya di Sibu, hari ini.
Kelvin, yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, menjelaskan bahawa ceramah berkenaan akan merangkumi pelbagai program dan biasiswa yang ditawarkan oleh Swinburne termasuk peluang dalam inisiatif Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu, Yayasan Sarawak akan memberi penerangan mengenai program serta bantuan kewangan yang disediakan untuk pelajar dari negeri ini.
“Kami ingin menggalakkan pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) untuk mengambil peluang ini dengan hadir ke ceramah tersebut,” ujarnya.
“Ceramah ini sangat sesuai untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang ingin merancang masa depan mereka,” jelasnya.
Beliau turut mempelawa ibubapa yang berminat untuk hadir, terutamanya memandangkan kerajaan Sarawak akan memperkenalkan pendidikan tinggi percuma bagi kursus STEM bermula tahun hadapan.
“Ini adalah masa yang sesuai untuk mendapatkan maklumat awal mengenai peluang ini,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong.
Oleh Tarani Lanting