
PHNOM PENH: Dua syarikat Kemboja memulakan penghantaran pertama produk gajus dan mangga kering ke Malaysia pada Khamis menerusi perjanjian kerjasama sektor swasta.
Ample Agro Product Co Ltd dan Kirirom Food Production Co Ltd menandatangani memorandum persefahaman berasingan dengan TrackinTech Solutions Sdn Bhd pada 23 Jan lepas bagi memudahkan urusan eksport.
Di bawah perjanjian itu, TrackinTech Solutions akan mendapatkan bekalan gajus yang telah diproses daripada Ample Agro Product dan mangga kering daripada Kirirom Food.
“Penghantaran dibahagikan kepada empat peringkat – 200 kotak (10,000 bungkusan) gajus dan 210 kotak (10,500 bungkusan) mangga kering ke Malaysia, sebelum diedarkan ke Singapura, Indonesia dan Brunei,” menurut Kementerian Perdagangan Kemboja.
Ample Agro Product ialah perusahaan sosial dan mesra alam yang mengeluarkan produk gajus, isi gajus, buah kering dan lada hitam.
Kirirom Food pula mengkhusus dalam pengeluaran mangga kering dan buah-buahan lain untuk pasaran tempatan dan eksport.
Kemboja kini muncul sebagai pengeksport utama gajus di pasaran global, bersaing dengan Vietnam yang merupakan pengeluar terbesar dunia.
Menurut data Persatuan Gajus Kemboja, para pengusaha tempatan mengeksport 850,000 tan metrik gajus mentah bernilai hampir RM5 bilion (US$1.15 bilion) tahun lalu.
Terdapat kira-kira 700,000 hektar ladang gajus di negara itu.– Bernama