
MAKKAH: Imam Masjidil Haram Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais menekankan kepentingan aspek keselamatan dan kesejahteraan dalam pembangunan negara menerusi khutbah Jumaatnya semalam, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Beliau memberi amaran terhadap jenayah berkaitan penggodaman elektronik, penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), serta taktik perpecahan seperti penyebaran rakaman dan kenyataan palsu yang menyasarkan pemimpin dan ulama.
Al-Sudais turut menegaskan kepentingan masyarakat sentiasa berwaspada, melaporkan sebarang pelanggaran, memahami bentuk penipuan serta berwaspada terhadap kempen Haji yang menyeleweng.
Beliau memuji tahap kesedaran awam yang semakin tinggi terhadap khabar angin berunsur fitnah dan menyeru umat Islam agar tidak secara tidak sedar menjadi alat kepada musuh.
Menurutnya, kesedaran masyarakat merupakan asas utama kepada keselamatan sosial sesebuah negara.– Bernama-Spa