PENGURUS Sarawak United FC, Afiq Fikri Brahim menegaskan, tiada masalah untuk pasukannya meneruskan sesi latihan seperti biasa ketika ini.
Ia berikutan lesen untuk berbuat demikian yang telahpun diterima daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) beberapa hari lepas.
“Sebenarnya terdapat kekeliruan dokumen yang dihantar sebelum ini, dan sekarang semua masalah sudahpun selesai…pemain kini boleh berlatih seperti biasa,” ujar Afiq ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Menurutnya, sebelum ini tersebar berita sebaliknya berhubung perkara itu di media sosial yang sekali gus menimbulkan kekeliruan.
“Apa pun, pihak kita lega kerana kekalutan yang timbul sudahpun diselesaikan,” tambah Afiq lagi.
Afiq memberitahu, fokus pasukannya ketika ini kembali dengan latihan seperti biasa sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Premier 2020 yang akan disambung semula 26 Ogos depan.
“Saya percaya pengemudi pasukan (E.Elavarasan) akan fokus pembentukan semula pasukan sebagai persiapan menghadapi baki perlawanan yang akan disambung semula 26 Ogos depan,” katanya.
Oleh Faizal Bujang