SIBU: Program Gunting Rambut Percuma untuk pelajar sekolah mendapat sambutan mengalakkan apabila disertai lebih 120 orang dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang, di Dewan MUC, Jalan Bandong, di sini semalam.
Program merupakan anjuran Pemuda Negara (PN) Sarawak Parlimen Sibu sempena sesi kembali ke sekolah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurut Ketua PN Sarawak Parlimen Sibu, Abdul Raafidin Majidi, program tersebut turut mendapat sambutan daripada golongan dewasa.
“Semasa program berjalan, terdapat permintaan daripada golongan dewasa dan kita turut menunaikan permintaan mereka walaupun program ini menyasarkan golongan pelajar sahaja.
“Oleh itu, kita berterima kasih kepada semua yang telah menyokong program ini dan akan meneruskannya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Raafidin juga merancang untuk mengadakan program yang sama dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu.
Sementara itu, program semalam mendapat kerjasama daripada The Wall Barbershop yang mengendalikan proses mengunting rambut.
Program berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah penjarakan sosial satu meter.