KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengkaji semula pendekatannya dalam projek infrastruktur untuk mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam ucapannya pada Invest Malaysia 2020 Siri semalam, beliau berkata terdapat beberapa kawasan di negara ini yang kekurangan kemudahan asas.
“Selain membina infrastruktur, kita juga perlu meningkatkan peruntukan untuk penyelenggaraan infrastruktur. Jalan raya dan lebuh raya serta sekolah kita memerlukan penyelenggaraan yang lebih baik.
“Sumber kewangan adalah terhad. Bagaimanapun, kami akan cuba yang terbaik untuk menyediakan lebih banyak peruntukan bagi penyelenggaraan kemudahan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata kerajaan mengakui bahawa pembangunan infrastruktur penting untuk pertumbuhan dan daya saing negara yang berterusan.
Mustapa berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak RM259 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai kerja-kerja pembangunan, termasuk projek berimpak tinggi seperti Mass Rapid Transit Lembah Klang Laluan 2 (MRT2), Transit Aliran Ringan 3, Laluan Rel Pantai Timur dan Lebuhraya Pan Borneo.
Senarai projek itu juga termasuklah Lebuhraya Kota Bharu, Lebuhraya dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai dan Sistem Transit Rapid yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.
Beliau berkata Malaysia juga sedang berbincang dengan rakan sejawatan dari Singapura mengenai pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi, yang dijangka dengan kos RM68 bilion.
“Oleh itu, kita perlu mengimbangi menyediakan kemudahan baharu dengan pelaksanaan yang berkesan.
“Cara utama ini dapat direalisasikan ialah melalui Kerjasama Awam-Swasta (PPP) – yang menggabungkan inovasi sektor swasta dengan kesedaran masyarakat sektor awam,” katanya.
Bagi menekankan PPP sebagai pemangkin untuk pembaharuan sektor yang lebih luas dan penyertaan sektor swasta yang lebih baik, Mustapa berkata kerajaan telah menubuhkan Dana Mudahcara bernilai RM20 bilion untuk memangkinkan pelaburan swasta dalam sektor strategik negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.
“Setakat ini, sebanyak 320 projek Dana Mudahcara bernilai RM14.23 bilion telah diluluskan, dan projek tersebut telah mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai RM232.46 bilion,” katanya.- Bernama