

SAMARAHAN: Mohd Nur Ikmal Kipli dan Sofiah Seman telah dinobatkan sebagai johan bagi majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Asajaya Tahun 1446H/2025, yang berlangsung di Masjid Silaturrahim, Kampung Iboi Laut, Sadong Jaya, semalam.
Kemenangan tersebut melayakkan kedua-dua johan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, berserta piala dan hadiah iringan.
Naib johan bagi kategori qari dimenangi oleh Kamil Majeni, manakala bagi kategori qariah pula disandang oleh Meriam Ramli. Kedua-duanya menerima wang tunai RM400, berserta piala dan hadiah iringan.
Bagi tempat ketiga, kategori qari dimenangi oleh Kepli Suut, manakala kategori qariah pula oleh Siti Jamilah Abd Rahman. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300, bersama piala dan hadiah iringan.
Majlis penangguhan tilawah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Dalam ucapannya, beliau memuji usaha Pejabat Daerah Asajaya bersama Jabatan Agama Islam Bahagian Samarahan menganjurkan majlis tilawah tersebut, yang menurutnya mampu memupuk minat membaca al-Quran serta memperkukuh syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Selaras dengan tema tilawah tahun ini, “Sarawak Maju Makmur”, beliau berharap program seperti ini dapat menjadi platform memperkukuh silaturahim dan menyumbang kepada pembangunan negeri dari aspek infrastruktur, ekonomi, pemikiran serta keagamaan.
Majlis kali ini menyaksikan penyertaan 29 peserta, terdiri daripada 20 qari dan sembilan qariah dari Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.
Turut hadir ADUN Simunjan, Awla Dris wakil Residen Bahagian Samarahan, Hasanal Abdul Wahid, Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang. -JAPEN