
SIBU: Dua jambatan kayu berhampiran Gereja Methodist Sang Ik, Jalan Tanjung Kunyit, telah dinaik taraf kepada jambatan konkrit bagi menyediakan kemudahan yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk setempat.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, berkata projek tersebut melibatkan kos kira-kira RM200,000 dan dibiayai menerusi dana khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Projek ini merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan di kedua-dua jambatan serta penggantian pembentung lama dengan yang lebih besar bagi meningkatkan kecekapan aliran air hujan,” jelasnya.
Menurut beliau, selepas dua jambatan tersebut siap dinaik taraf, satu lagi projek menaik taraf jambatan kayu ketiga akan dimulakan dan dijangka bermula minggu hadapan.
“Kedua-dua jambatan ini pada asalnya hanya boleh dilalui motosikal, namun kini telah dinaik taraf sepenuhnya kepada jambatan konkrit.
“Saya yakin, apabila jambatan ketiga siap nanti, kenderaan seperti kereta juga dapat melaluinya dengan lancar. Ini akan memberi kemudahan besar kepada penduduk dan pengguna jalan di kawasan ini,” katanya lagi.
Kaunselor Lau turut menegaskan bahawa pasukan SUPP Bawang Assan akan terus memantau perkembangan projek sehingga ia siap sepenuhnya.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pegawai terlibat, ketua-ketua masyarakat serta ahli pasukan atas kerjasama padu mereka dalam usaha membangunkan Bawang Assan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor turun padang bagi meninjau kemajuan projek tersebut.
Turut hadir Penghulu Yong King Sung, Kapitan Ting Siew Kiew dan Kaunselor Justin Wong Sing Ing.
Oleh Akun Giman