
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini berkenan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) yang diketuai oleh Pengerusinya, Datu Dr Sabariah Putit, di Astana Negeri.
Kunjungan hormat tersebut diadakan bagi memperkenalkan barisan ahli-ahli baharu SPANS serta memaklumkan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan dasar-dasar perkhidmatan awam di peringkat negeri.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengerusi SPANS, Datu Antonio Kahti Galis, serta barisan ahli-ahli SPANS termasuk Datu Ismail Mohamad Hanis, Datu Nicholas Sia, Datu Jack Aman Luat, Datu Ir Lau Hieng Ung, Dato Simoi Peri, Dato Abdul Rahman Sebli Logo @ Senusi, Dr Ahi Sarok, Yussibnosh Balo, dan Alexander Vincent. Mereka turut diiringi oleh pegawai-pegawai SPANS iaitu Tuan Mohamad Lotfi Tuah (Setiausaha), Amrul Yusup (Jurugambar), dan Favarina Bujang (Setiausaha Pejabat).
Tun Wan Junaidi dalam ucapannya berharap agar pertemuan ini dapat membuka lebih banyak ruang strategik untuk melaksanakan pelbagai inisiatif baharu yang menyokong agenda peningkatan kapasiti penjawat awam, penerapan teknologi dalam pengurusan sumber manusia, serta pemerkasaan latihan dan pembangunan kerjaya.
Beliau turut menekankan peranan penting SPANS dalam menstruktur serta memperkukuh sistem perkhidmatan awam yang berintegriti, cekap dan berprestasi tinggi. Dalam masa yang sama, aspek integriti dan profesionalisme dalam kalangan penjawat awam turut ditekankan selaras dengan kehendak rakyat dan tuntutan pembangunan negeri.
Tun Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan SPANS dalam menyokong aspirasi kerajaan Sarawak ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang responsif, kompeten dan inovatif, seiring dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.