
BINTANGOR: Pelbagai inisiatif telah disalurkan kepada rakyat Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, arus pembangunan sentiasa diteruskan dan kebajikan rakyat juga turut diutamakan oleh kerajaan Sarawak.
“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan untuk rakyat Sarawak termasuklah Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Kumpulan Wang Wakaf Sarawak (EFS).
“Inilah keistimewaan rakyat Sarawak yang mempunyai status ‘K’ dalam kad pengenalan mereka,” katanya.
Kuong Hiing yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor berkata demikian ketika menjalankan lawatan pra-Gawai bersama rombongan ahli SUPP Cawangan Bintangor di hari ke-12 di beberapa buah rumah panjang kawasan Sungai Rayah, petang semalam.
Tambahnya, DUN meradong mempunyai dua wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii sentiasa menitikberatkan keperluan asas rakyat di kawasan DUN Meradong.
“Oleh itu, saya menyeru agar penduduk rumah panjang terus memberi sokongan penuh kepada wakil rakyat ADUN dan ahli Parlimen dari GPS kerana kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dan mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek