ROBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir akan terus komited bekerjasama dengan pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan kemudahan prasarana sekolah-sekolah di konstituensi itu berada pada tahap yang lebih baik dan mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pelajar dan warga pendidik.
Katanya warga pendidik perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mempertingkatkan kemudahan dan pembangunan pembelajaran untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik serta sosial.
“Kekurangan kemudahan di sekolah pedalaman seperti sedia maklum, perlu diberi perhatian pelbagai pihak, demi keselesaan guru dan murid di sekolah terbabit.
“Kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman mengakibatkan sekolah itu kadang kala lewat menerima bantuan kerajaan, khususnya kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
“Justeru, saya akan terus meminta kerjasama daripada pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah untuk mempastikan bantuan serta kemudahan prasarana sekolah-sekolah di daerah ini berada pada tahap yang lebih baik,” katanya semasa melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) (C) Chung Hua Roban kelmarin.
Chee Kadir berkata murid di pedalaman memiliki potensi untuk maju dalam akademik, namun kekurangan kemudahan antara punca kemampuan mereka untuk bersaing menjadi terhad.
“Saya yakin jika kerajaan menyediakan prasarana yang lebih baik, mereka (guru dan murid) pasti dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan di sekolah negeri ini.
“Sebenarnya ramai murid di sekolah pedalaman yang datang daripada keluarga miskin ini berbakat dan mampu mencapai kecemerlangan dalam akademik jika disediakan segala fasiliti yang baik ditambah dengan guru berkualiti,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Chee Kadir turut menyentuh berkaitan pendidikan aliran Cina yang bukan sahaja untuk kaum Cina, malah ia menjadi satu pilihan positif untuk Bumiputera dan kaum-kaum lain.
“Semakin ramai ibu bapa bumiputera menghantar anak ke sekolah aliran Cina berdasarkan pertambahan statistik pendaftaran pelajar ke sekolah ini setiap tahun.
“Keadaan tersebut berlaku di SJK (C) Chung Hua Roban, malah juga di SJK (C) Chung Hua Kabong yang wajar dijadikan contoh kepada semua pihak dengan pemikiran dan minda yang positif untuk menerima kaum lain dalam satu institusi pendidikan seperti hari ini,” ujar beliau.
Beliau turut memuji amalan pendidikan yang amat baik di kedua-dua sekolah aliran Cina di daerah itu, di mana sekolah aliran Cina tidak hanya untuk masyarakat Cina semata-mata tetapi juga kaum lain.
Katanya lagi sekolah-sekolah aliran Cina di daerah ini akan terus dibantu memandangkan ia memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan negara.
Ujar Chee Kadir, Kerajaan Sarawak mengamalkan dasar memberi bantuan kepada semua kaum di negeri ini sekaligus berbeza dengan negeri lain.
“Kerajaan Sarawak akan terus bantu sekolah Cina di negeri ini terutamanya di DUN Kabong ini,” katanya.
Turut hadir Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Lu Pau Chee, Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan Sekolah, Jong Thai Bee, Yang Dipertua PIBG, Goi Nguok Kiet, Timbalan YDP PIBG, Lim Kwang Yien dan Penghulu Roban, Lim Kent Huat.
Oleh Adi Safarman