
PETRA JAYA: Seorang lelaki cedera selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Diplomatik-Yayasan Sarawak, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.01 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Rahman Deni, berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Hilux, dan sebuah Perodua Axia.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati berlaku pelanggaran membabitkan dua kenderaan.
“Seorang mangsa lelaki didapati tercampak keluar dari Perodua Axia dan tidak sedarkan diri dengan kecederaan luka terbuka di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.
Pasukan EMRS Petra Jaya memberikan rawatan awal kepada mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans dari Kementerian Kesihatan (KKM).
Mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun, kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan dan rawatan lanjut.
Tambahnya, tiada operasi mengeluarkan mangsa tersepit dijalankan kerana mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan sebelum pasukan tiba.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di lokasi bagi memastikan kawasan selamat untuk pengguna jalan raya.
Menurut pihak bomba, operasi tamat sepenuhnya pada 4.50 pagi, dan melibatkan 10 anggota bersama dua aset iaitu sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS.
Oleh Masrin Affirah