
SERIAN: Serian bakal menjadi tumpuan utama belia Sarawak apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Belia Negara (HBN) dan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang akan berlangsung pada 16 hingga 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Serian.
Program berprestij anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ini akan dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph berkata, pelbagai pihak kini giat membuat persiapan rapi susulan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Sambutan HBN yang diadakan baru-baru ini.
Tahun ini menandakan edisi ke-61 sambutan HBN yang bertemakan “Yakin Boleh”, selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berkeyakinan tinggi serta mampu menghadapi cabaran masa depan.
Sebanyak 13 ‘Port’ utama bakal menjadi tarikan dengan aktiviti yang disesuaikan dengan minat dan keperluan belia masa kini, antaranya Port Makan-Makan, Port Gaya & Trend, Port Healing, Port Gaming (E-Sukan), Port Jana Duit dan Port FYP. Pavilion khas turut disediakan untuk Rakan Muda dan Saberkas/NGO.
Sehubungan itu, golongan belia serta seluruh masyarakat dijemput hadir untuk memeriahkan program sambil merebut peluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang bakal berlangsung sepanjang dua hari tersebut. -UKAS