
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MR D.I.Y. Group (M) Bhd meningkat kepada RM174.15 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 daripada RM144.88 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Perolehan kumpulan pula naik sebanyak 10 peratus kepada RM1.26 bilion daripada RM1.14 bilion pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini disokong oleh peluasan berterusan kumpulan merangkumi penambahan 173 kedai baharu.
Sehubungan itu, jumlah keseluruhan kedai bertambah daripada 1,298 kepada 1,471 sekali gus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 13.3 peratus.
“Pengembangan ini membawa kepada peningkatan jumlah pengunjung dengan jumlah urus niaga menokok sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada 48.2 juta sepanjang suku tersebut serta peningkatan sebanyak 0.9 peratus tahun ke tahun dalam saiz bakul purata.
“Dimaklumkan, waktu perayaan iaitu Hari Raya lebih awal tahun ini yang jatuh pada Mac berbanding April. Ia turut menyumbang kepada jualan bermusim yang lebih kukuh,” kata peruncit kelengkapan rumah itu kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan juga mencatatkan sebanyak RM12.8 juta dalam pendapatan operasi lain terutamanya daripada yuran pengurusan, pendapatan faedah daripada deposit tetap jangka pendek serta pertambahan diskaun daripada deposit keselamatan dan utiliti ke atas sewa.
“Perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain meningkat sebanyak 17.6 peratus dan 11.6 peratus tahun ke tahun, masing-masing kepada RM58.5 juta dan RM304.0 juta.
“Peningkatan itu mencerminkan kos kakitangan, utiliti serta susut nilai aset tetap dan aset hak penggunaan yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan kumpulan tersebut,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan kekal teguh dalam komitmennya untuk memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan melalui pelaburan strategik dalam pertumbuhan dan teknologi.
Langkah ini untuk meningkatkan kecekapan operasi selain tumpuan berterusan terhadap pengoptimuman kos merentas semua operasi.
“Melangkah ke hadapan, kumpulan berada di landasan yang betul untuk melancarkan secara strategik 190 kedai baharu di seluruh jenama teras dan sub jenamanya pada 2025.
“Ini akan merangkumi konsep runcit yang inovatif dan tawaran produk yang diperluas, mengukuhkan kepimpinan pasaran kumpulan dan kedudukannya sebagai peruncit pilihan nilai untuk semua rakyat Malaysia,” kata MR D.I.Y.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Adrian Ong berkata kumpulan yakin dengan pertumbuhannya selain memacu kecekapan operasi dan menyampaikan nilai mampan jangka panjang kepada pemegang kepentingannya.
“Kami teruja dengan permulaan yang kukuh bagi tahun kewangan 2025 terutamanya di tengah ketidaktentuan yang berterusan.
“Peningkatan operasi kami membuahkan hasil dengan kemajuan yang bermakna dicerminkan dalam petunjuk kewangan utama. Dimaklumkan, daya pengeluaran di gudang automatik kami meningkat dengan ketara sejak pelancarannya pada Ogos 2024,” katanya.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.014 seunit saham biasa yang berjumlah kira-kira RM132.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 yang akan dibayar pada 8 Julai 2025.
-Bernama