
SARATOK: Pusat Komuniti Melango akan dinaik taraf bagi membolehkannya digunakan bagi menjalankan pelbagai aktiviti riadah pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek yang bernilai RM200,000 ini nanti akan melalui proses cabutan undi oleh pihak Pejabat Residen Bahagian Betong bagi melantik kontraktor yang berkelayakan.
“Projek menaik taraf Pusat Komuniti Kampung Melango akan dilaksanakan dalam masa terdekat, ia dilakukan adalah demi keselesaan penduduk yang menjalankan aktiviti atau program di pusat komuniti terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka bersama agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan JKR Saratok telah mengadakan lawatan tapak projek naik taraf Pusat Komuniti Kampung Melango dekat sini semalam.
Mohamad Duri berkata penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka akan menikmati kemudahan asas yang lebih baik melalui peruntukan projek RTP ini.
“Saya amat bersyukur projek RTP ini masih lagi diteruskan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membantu pembangunan di kawasan luar bandar negeri ini khasnya dan kawasan DUN Kalaka amnya,” katanya.
Justeru Mohamad Duri mahu pemantauan berterusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi pelaksana dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap projek dibiayai kerajaan Sarawak itu dilaksana dengan sempurna dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman