
KAPIT: Sebuah kedai serbaneka tiga tingkat di Jalan Airport di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi empat minit kemudian, api didapati marak bermula dari tingkat bawah dan merebak ke tingkat satu bangunan berkenaan yang berkeluasan 80×20 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


PASUKAN bomba menjalankan pemadaman secara defensif dari bahagian belakang bangunan.
Menurut beliau, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan laluan masuk yang dihalang barangan, namun anggota berjaya melaksanakan pemadaman secara ofensif dan defensif menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel di tingkat bawah dan satu.
“Pasukan turut menjalankan pemadaman secara defensif dari bahagian belakang bangunan,” katanya.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.12 pagi dan ditamatkan sejam kemudian selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Oleh Tarani Lanting