
SIMANGGANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw kategori Beregu Bawah 18 Tahun (B18) sempena Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Sri Aman 2025 yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman, hari ini.
Tempat kedua disandang oleh pasukan dari SMK Lingga, manakala SMK Sri Aman menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Beregu Bawah 15 Tahun (B15), regu dari SMK Lubok Antu dinobatkan sebagai juara, diikuti SMK Melugu sebagai naib juara dan SMK Engkilili di tempat ketiga.
Sementara itu, dalam acara Regu B18, SMK Lingga muncul juara, diikuti SMK Melugu di tempat kedua dan SMK Lubok Antu di tempat ketiga. Bagi kategori Regu B15, SMK Lubok Antu sekali lagi mendominasi dengan merangkul kejuaraan, diikuti SMK Melugu (naib juara) dan SMK Lingga di tempat ketiga.
Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, Sektor Pembangunan Murid, Azrien Julaihi.
Kejohanan MSSB tahun ini menampilkan dua kategori utama iaitu bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun, dengan penyertaan daripada tujuh buah sekolah menengah di Bahagian Sri Aman dalam acara beregu dan regu lelaki.
Pada masa yang sama juga, Bahagian Sri Aman akan menghantar wakil ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak yang dijadual berlangsung di Bintulu pada penghujung Julai ini.
Para pemain yang bakal mewakili Sri Aman telah dikenal pasti oleh pengurusan pasukan dan sesi latihan pusat akan diadakan di SMK Melugu bagi mempersiapkan pasukan Sri Aman ke MSS Sarawak 2025.
Oleh Adi Safarman