
KOTA SAMARAHAN: Lagu Hening Rindu yang dipopularkan oleh Marsha Milan membawa tuah kepada Nur Athifah Musyirah Ismail apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Karaoke Terbuka sempena Program Pusat Komuniti Desa (PKD) yang berlangsung di Pentas Utama, pekarangan parkir lot Pasaraya Aiman, hari ini.
Dengan kemenangan itu, Nur Athifah yang lebih dikenali sebagai Effa Ismail berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 berserta piala.
Tempat naib johan pula dimenangi oleh Mohd Farzuwan Mahathir yang mempersembahkan lagu Mimpi Yang Tak Sudah, nyanyian asal Ibnor Riza, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 serta piala.
Tempat ketiga disandang oleh Mohd Asbullah Arsyad menerusi persembahan lagu Ghazal Asmara, yang dipopularkan oleh Datuk Jamal Abdillah. Beliau menerima hadiah wang tunai RM200 beserta piala.
Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Noraina Masduki@Abdul Hanan.
Seramai 13 peserta dari sekitar Kota Samarahan dan Kuching telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Sementara itu, pentas hiburan PKD Mobile malam ini akan dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Amir Masdi, serta turut diserikan oleh artis tempatan Hijrah Yahya dan Kombo RISDA. Acara dijadual bermula 8.00 malam.
Oleh Adi Safarman