
SARIKEI: Lebih 200 belia telah menghadiri Konvensyen Junior Chamber International (JCI) Area Sarawak 2025.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, konvensyen ini menjadi platform memperkasa kepimpinan, jaringan dan tindakan sosial anak muda masa kini.
“JCI telah membina reputasi global selama bertahun-tahun sebagai organisasi terulung dalam membentuk pemimpin.
“JCI bukan sekadar sebuah organisasi, ia juga adalah satu gerakan global yang memperkasa golongan belia untuk menjadi warganegara proaktif dan pemimpin perubahan yang bermakna.
“Konvensyen seperti ini menjadi platform penting untuk berkongsi ilmu, membina jaringan dan mencetuskan inspirasi ke arah transformasi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Andrew Wong Pak Ung selaku wakil, bertempat di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi.
Katanya, JCI percaya bahawa membantu orang lain adalah tugas paling penting dalam hidup.
“Idea yang ringkas tetapi kuat ini menyatukan kita sebagai manusia. JCI mengajar kita bahawa kepimpinan bukan tentang jawatan.
“Kemajuan yang dibawa oleh JCI tidak berlaku secara kebetulan, ia bermula dengan perbualan terbuka dan jujur yang berubah menjadi tindakan sebenar.
“Istimewanya tentang konvensyen ini adalah bagaimana ia meletakkan semua orang di atas landasan yang sama. Di sini, tidak kira jawatan anda di luar, yang penting ialah apa yang kita mampu capai bersama,” katanya.
Tambahnya, golongan belia bukan sekadar suara masa depan.
“Anda juga adalah suara masa kini. Anda sudah pun memimpin di komuniti, kampus dan tempat kerja.
“Setiap tindakan yang anda ambil mampu memberi inspirasi dan pengaruh besar kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir Presiden Kebangsaan JCI Malaysia, Senator JCI Tan Wei Jian, Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan JCI Malaysia merangkap Pengerusi Kawasan Sarawak, Tan Chin Jie, Pengarah Konvensyen Kawasan Sarawak JCI Malaysia Andy Lau dan Presiden Tempatan JCI Sarikei, Ivy Hung.
Oleh Earl Anek