
SARIKEI: Sarikei Festival merupakan acara tahunan yang amat sinonim dengan Bahagian Sarikei dan terus menjadi platform utama dalam mengetengahkan keunikan budaya, hasil pertanian serta potensi pelancongan tempatan.
Bagi menyemarakkan semangat pembaharuan serta memperkukuh identiti baharu kepada penganjuran acara tersebut, Jawatankuasa Induk Sarikei Festival 2025 dengan sukacitanya mengumumkan satu pertandingan mencipta logo baharu Sarikei Festival yang bermula dari 1 Mei hingga 14 Mei 2025, secara atas talian.
Menurut kenyataan rasminya, pertandingan ini bertujuan memperkasa penglibatan masyarakat tempatan dalam memperbaharui imej visual festival yang menjadi kebanggaan Sarikei saban tahun.
Logo baharu yang dipilih akan menggantikan logo rasmi sedia ada dan digunakan dalam semua bahan promosi rasmi Sarikei Festival bermula edisi 2025.
Penyertaan terbuka kepada warga Sarawak dan reka bentuk logo perlu dihantar dalam salinan lembut (softcopy) menggunakan format Adobe Illustrator (AI), PDF, JPEG atau PNG, dengan resolusi minimum 1280 x 960 piksel (300dpi). Reka bentuk mestilah kemas, jelas dan menarik.
Logo yang dihantar juga perlu menampilkan elemen-elemen penting Bahagian Sarikei seperti buah nanas, jambatan atau Sungai Rajang, Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, serta identiti tempatan. Reka bentuk mestilah mengandungi sekurang-kurangnya dua warna dan tidak melebihi empat warna.
Pemenang utama akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00 beserta e-Sijil Penyertaan, manakala semua peserta yang menghantar penyertaan layak menerima e-Sijil Penyertaan sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui saluran rasmi Jawatankuasa Induk Sarikei Festival 2025.
Oleh Earl Anek