
Arne Slot. Foto AFP
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris di Anfield sebagai antara detik paling manis dalam hidupnya, sambil mula mengalihkan tumpuan kepada persiapan musim depan.
Slot yang baru musim pertama membimbing The Reds, membawa kelab itu menamatkan kemarau kejuaraan dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Tottenham Hotspur, Ahad lalu sekali gus merangkul gelaran liga ke-20 – pencapaian rekod baharu dalam sejarah bola sepak England – dengan baki empat perlawanan.
“Mungkin bukan hanya untuk semua penyokong Liverpool, tapi saya rasa bagi kebanyakan mereka, ini adalah antara hari terbaik dalam hidup mereka. Dan saya sendiri turut merasai perkara yang sama,” katanya.
“Menyaksikan bagaimana suasana hari itu bermula sebaik tiba di stadium, penyokong sudah begitu bersemangat. Kemudian apabila kami ketinggalan 0-1, ia seperti satu peringatan bahawa kami perlu bekerja keras untuk menangi gelaran ini.
“Melihat para pemain menjaringkan gol dan bagaimana ia membawa makna besar kepada penyokong, itu satu detik yang amat istimewa untuk saya,” tambah jurulatih berusia 46 tahun itu.
Liverpool dijadualkan berdepan Chelsea di tempat lawan Ahad ini sebelum melengkapkan musim menentang Arsenal, Brighton dan Crystal Palace.
“Menarik juga kerana baki perlawanan ini adalah menentang pasukan kuat seperti Chelsea, Arsenal, Brighton dan Palace. Ia secara langsung mencabar kami, walaupun liga sudah dimenangi,” jelas Slot.
“Walaupun musim ini hampir tamat, saya juga mahu anggap ini sebagai permulaan kepada musim baharu.”
Slot turut menyatakan rasa terkejut dengan jurang 22 mata antara pasukannya dan Chelsea kendalian Enzo Maresca yang disifatkannya bermain lebih baik ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Oktober lalu meskipun Liverpool menang 2-1.
“Kami menang perlawanan itu, dan itu juga satu kualiti – mencari jalan untuk menang. Tapi dalam perlawanan itu, kami perlu lebih berkorban berbanding perlawanan lain.
“Jadi untuk berada jauh 22 mata di hadapan mereka adalah satu pujian besar buat semua di kelab ini,” katanya lagi.
Bekas pengendali Feyenoord itu juga memberi bayangan akan melakukan penggiliran pemain dalam baki aksi musim ini.
“Ada beberapa pemain yang sepatutnya sudah layak beraksi lebih awal kerana prestasi cemerlang dalam latihan. Mereka cukup bagus untuk bermain di kelab ini, tapi saya lebih kerap memilih barisan yang sama.
“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk melihat di mana tahap mereka, sambil mengambil kira perancangan musim depan juga. Tetapi paling penting, mereka memang layak diberi peluang musim ini,” katanya.
Slot percaya kejayaan menjulang trofi liga akan memberi kelebihan dalam usaha memperkuat pasukan menjelang jendela perpindahan musim panas nanti.
“Dengan kejayaan memenangi liga, ditambah dengan aura penyokong kami, saya fikir ini menjadi tarikan besar buat mana-mana pemain yang ingin kami bawa masuk,” katanya.
Kapten pasukan, Virgil van Dijk serta penjaring terbanyak, Mohamed Salah, masing-masing telah memperbaharui kontrak untuk kekal di Anfield.
Namun, Slot mengesahkan tiada perkembangan baharu mengenai Trent Alexander-Arnold yang terus dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. – AFP